PROFIL USAHAWAN

Faiza Bawumi Sayed Ahmad


Faiza Bawumi Sayed Ahmad adalah pemilik syarikat pemborong beras Syarikat Faiza Sdn. Bhd. pada tahun 1964, wanita kelahiran Mesir ini telah berhijrah ke Malaysia kerana mengikut suaminya.  Pada ketika itu, beliau mampu menguasai Bahasa Melayu dan fasih berbahasa Melayu setelah hanya tiga bulan di Malaysia kerana sifat beliau yang peramah dan suka bergaul dengan jiran jirannya. Meskipun  sudah berusia lingkungan 60an, beliau yang mempunyai tujuh orang anak dan juga seorang nenek kepada 32 cucu sibuk masih giat merancang strategi bagi mengukuhkan kedudukannya dalam pelbagai cabang perniagaan di negara ini. 
Wanita yang berperwatakan lembut itu sebenarnya seorang yang tegas. Beliau mahu memastikan syarikat yang ditubuhkan perlu berada di landasan betul sekali gus mencatatkan keuntungan saban tahun. Puan Faiza yang memangnya dilahirkan dalam keluarga yang juga bergiat dalam perniagaan. Berkecimpung dalam bidang perniagaan sejak kecil, beliau pernah menjadi juruwang di kedai milik bapanya. Pengalaman tersebut mendorong beliau untuk bergiat secara serius dalam bidang perniagaan.
Setelah berkahwin dan dikurniakan cahaya mata yg pertama, beliau mengikut  suaminya berhijrah ke Malaysia. Puan Faiza mencari aktiviti berfaedah yg boleh dilakukannya bagi mengelakkan masanya terluang begitu sahaja. Beliau bermula dengan mengambil upah menjahit sulaman dengan modal RM4 dan menjual pelbagai barangan dapur. Beliau juga membeli kain ela dan membuat baju gaun untuk anak-anak kecil jiran-jirannya. Kemudian beliau menghasilkan set sarung bantal. Hasil jahitannya yang cantik dan kemas dijual kepada kawan-kawannya. Seterusnya, beliau berniaga set ensiklopedia, diikuti bisnes pinggan mangkuk. Melalui bisnes kecil kecilan ini, beliau menabung wang bagi menjadikan modal bisnes seterusnya.

Beliau berminat pula menghasilkan rempah kari. Beliau membeli pelbagai rempah ratus seperti ketumbar, jintan, halba, cili kering, cengkih dan sebagainya untuk membancuh ramuan-ramuan tersebut bagi menghasilkan rempah kari ikan dan daging di bawah jenama Bunga Raya. Semuanya dilakukan sendiri di rumah, daripada mencuci, menjemur dan menggoreng rempah ratus tersebut. Kemudian, beliau menghantarnya ke kedai bagi dikisar dan diedarkan.

Selang beberapa tahun kemudian, Puan Faiza membeli pula sebuah mesin pengisar dan membuka kedai runcit dengan modal daripada menjual rempah kari itu. Dari situ beliau mendapati bahawa pemborong beras kebanyakannya dibekalkan oleh kaum lain. Beliau mula belajar pelbagai jenis beras. Puan Faiza memohon lesen pemborong beras dan menjual pelbagai jenis beras termasuk ponni, basmathi, beras wangi serta beras Siam setelah mendapat maklumbalas positif atas usaha selidik beliau pergi dari satu kedai ke satu kedai bagi mendapatkan respon sama ada mereka akan membeli berasnya jika beliau menjualnya. Para pelanggan yang melanggan rempahrempah beliau turut membeli beras daripadanya.

Pada permulaan, beliau agak buntu melihat satu lori treler penuh berisi beras diletakkan di hadapan rumah, namun beliau nekad dengan berusaha membungkus menggunakan jenama Bunga Raya dan menghantar ke kedai-kedai di seluruh Johor.

Perniagaan beliau mendapat sambutan walaupun mendapat persaingan yang agak sengit. Pada awal tahun 90an, syarikat telah mengambil peluang ke atas kepekaan masyarakat pada ketika itu kepada cara pembuatan dan kandungan makanan. Syarikat mula memperkenalkan dengan sejenis kategori beras berkualiti dari Kartanaka, India. Beras ini adalah jenis beras “Ponni”.  Menerusi produk berkualiti dan berkhasiat sesuai untuk pesakit seperti pesakit diabetis, SFSB memperkenalkan beras  “Ponni” ini ke seluruh Malaysia.

Syarikat beliau kini telah dikenali kerana kualiti produk yang tinggi, seratus peratus buatan Islam dan halal. Beliau berharap dengan penglibatan dalam penghasilan produk tersebut ia memberi pilihan kepada orang Islam untuk mendapatkan produk yang bermutu tinggi dan tanpa was-was meragui status halalnya.

Puan Faiza bukan sahaja menjadi Pengarah Urusan Syarikat Faiza, tetapi turut bertungkus-lumus menentukan operasi syarikat berjalan lancar dan turut terlibat dalam projek kilang milik Syarikat Faiza bernilai RM14 juta di Sri Gading, Batu Pahat. Kejayaan beliau sekarang bukan diperolehi dengan mudah, tetapi setelah mengharungi segala cabaran selama 43 tahun berkecimpung dalam dunia perniagaan. Puan Faizah berkata semua usaha yang dilakukan itu bukanlah untuk mengumpulkan kekayaan sebaliknya untuk menjadi pembayar zakat terbesar di Malaysia sekali gus membantu lebih ramai orang yang susah. 

Puan Faiza menyarankan agar umat Islam di negara ini supaya hidup bersatu padu supaya tidak mudah ditindas oleh bangsa lain dan hubungan yang kukuh sesama umat Islam bukan sahaja mampu memajukan masyarakat Islam di negara ini, malah mampu meningkatkan kedudukan ekonomi masyarakat tersebut.

Puan Faiza berkata pengalamannya berniaga, termasuk berurusan dengan bangsa lain membuka mindanya untuk menyedarkan masyarakat Islam khususnya orang Melayu betapa perlunya mengamalkan sikap tolong-menolong antara satu sama lain seperti yang diamalkan bangsa lain. Beliau sentiasa mencontohi keperibadian Nabi Muhammad S.A.W dalam menjalankan kehidupan seharian, terutama amanah dan gigihnya Baginda Rasullulah dalam menjalankan perniagaan serta dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai pemimpin.